9 PASUKAN LULUS LESEN KELAB UNTUK BERSAING DI LIGA SUPER 2020
9 PASUKAN LULUS LESEN KELAB UNTUK BERSAING DI LIGA SUPER 2020
Sebanyak sembilan daripada 12 pasukan yang beraksi pada Liga Super 2019 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2020, jika mereka layak.Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 26 dan 27 September 2019.
Sembilan kelab yang diberikan lesen kebangsaan itu adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Pahang FA, Selangor FA, Terengganu FA, Felda United FC dan PJ City FC.
Bagaimanapun, dua lagi kelab iaitu Melaka FA dan PKNS FC diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat yang mana mereka perlu melengkapkan keperluan yang disyaratkan itu sebelum 30 Oktober 2019. Kegagalan untuk berbuat demikian, lesen berkenaan akan ditarik balik dan mereka akan dikenakan tindakan diturunkan ke Liga Premier 2020.
Sementara satu lagi kelab dari Liga Super 2019 iaitu PKNP FC telah ditolak permohonan mereka dan gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan di atas kegagalan untuk melengkapkan kriteria-kriteria yang diperlukan, sekali gus diturunkan ke Liga Premier 2020.
Daripada sembilan kelab yang lulus lesen kebangsaan di atas, ENAM pasukan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Selangor FA dan Terengganu FA turut diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan-pasukan ini beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2020, jika mereka layak.
Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas ENAM kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.
Lesen Kebangsaan dan lesen AFC ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2020 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.
Sebagai langkah proaktif juga, FAM untuk kali ini telah mensyaratkan setiap pasukan wajib menghantar surat pengisytiharan yang mereka bebas daripada sebarang tunggakan gaji, KWSP, LHDN dan Perkeso kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember 2019, menjelang musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020.
Ini memandangkan, kriteria yang ditetapkan dalam permohonan lesen kelab bagi musim 2020 yang dinilai pada September 2019 hanya berdasarkan kepada laporan kewangan tahunan 2018 yang telah diaudit serta laporan daripada pengurusan pasukan untuk tempoh Januari 2019 hingga Jun 2019.
Dengan langkah ini, ia sekali gus dapat mengelak daripada tunggakan yang berlaku selepas tempoh berkenaan dibawa pula ke musim 2020 kerana mana-mana pasukan yang gagal mengemukakan surat pengisytiharan berkenaan pada 15 Disember 2019 boleh dikenakan tindakan lesen kelab yang telah diperoleh mereka itu ditarik balik.
Di samping itu, FIB juga akan melakukan lawatan dan audit ke kelab-kelab berkenaan selepas 15 Disember 2019 bagi memastikan apa yang dinyatakan mereka dalam surat pengisytiharan itu adalah benar, sebelum musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020 bermula.
Akhir kata, saya bagi pihak FAM selaku pihak yang memberikan lesen kelab ini ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah berjaya memperoleh lesen kelab Kebangsaan dan lesen AFC ini di atas usaha individu-individu dalam pasukan masing-masing yang telah memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan permohonan mereka berjaya.
sumber : FAM
VIDEO : 6 Pasukan Dapat Lesen AFC 2020
Post a Comment